Bioinformatik iaitu satu disiplin yang menggabungkan bidang sains pengkomputeran dan teknologi maklumat kepada permasalahan pengkomputeran dalam bidang biosains dan bioteknologi. Ilmu bioinformatik membolehkan pembangunan algoritma atau kejuruteran perisian dan seterusnya analisis serta interpretasi data skala besar (big data) dalam biologi molekul. Data skala besar yang diberi tumpuan oleh bidang bioinformatik adalah di dalam bidang biologi molekul, khususnya analisis jujukan dan struktur makromolekul bagi pelbagai tujuan termasuk penerokaan ilmu dalam era pasca-genomik dan juga penyelidikan dan pembangunan dalam bidang genetik, vaksin, teknologi enzim dan ubatan baru yang boleh mengarah kepada peningkatan mutu kesihatan dan kemakmuran ekonomi.