Kebijaksanaan dalam memanfaatkan sumber alam secara mapan, iaitu keupayaan mengimbangi pembangunan dengan degradasi alam sekitar merupakan isu paling mencabar kepada ahli sains di Malaysia dan di seluruh dunia. Dalam Program Sains Sekitaran, penekanan diberikan kepada kefahaman pelajar terhadap asas sains alam sekitar, isu berkaitan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan serta pengurusan dan pengendalian isu tersebut. Pelajar juga akan didedahkan kepada teknologi terkini dalam analisis alam sekitar merangkumi analisis kualiti air, udara dan tanih, ujian ketoksikan serta penggunaan sistem maklumat geografi (GIS) dan penderiaan jauh (RS) di samping teknik lazim dalam analisis komponen fizikal dan biologi sekitaran. Aspek perundangan dan ekonomi alam sekitar yang perlu untuk kefahaman secara menyeluruh tentang penjagaan alam sekitar juga ditekankan. Kemahiran asas sebagai ahli sains seperti keupayaan berkomunikasi berkesan, penggunaan teknologi maklumat dan latihan menjalankan penyelidikan dalam bidang alam sekitar dipupuk melalui kursus tertentu.