Sains Laut adalah satu bidang sains berkaitan sumber-sumber hidup dan bukan hidup serta aspek-aspek persekitaran fizikal laut. Sebagai sebuah negara maritim, Malaysia memberikan penumpuan dalam pendidikan dan penyelidikan sains laut. UKM merupakan salah sebuah IPTA terawal yang menawarkan program pengajian dalam bidang sains laut di peringkat prasiswazah. Di peringkat awal penubuhan, program pengajian dan penyelidikan sains laut di UKM menumpu kepada aspekaspek ekologi, diversiti dan sains sumber marin. Kini program pengajian dan penyelidikan sains laut di UKM telah berkembang dan merangkumi hampir semua sub-bidang sains laut. Kepakaran pensyarah-pensyarah yang terlibat dalam pengajaran dan penyelidikan sains laut merangkumi bidang ekologi dan diversiti invertebrata marin, ekologi terumbu karang, fisiologi, ekologi dan diversiti bakterioplankton, fitoplankton dan rumpai laut, bioteknologi marin, kimia marin, geologi marin, penderiaan jauh lautan dan GIS, oseanografi fizikal, meteorologi marin dan iklim lautan. Pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian Program Sains Laut berpeluang memilih satu dari dua modul yang ditawarkan. Dalam Modul Biologi Marin pelajar diberikan penekanan dalam aspek-aspek biologi marin manakala dalam Modul Oseanografi pelajar akan lebih menumpu kepada aspekaspek fizikal pengajian sains laut. Pelbagai kursus sains laut dijadikan asas pendidikan di peringkat prasiswazah berdasarkan kepada perkembangan dan kehendak semasa.